Monday, 23 July 2012

Fadilat berbuka dengan kurma

Fadilat berbuka dengan kurma

http://www.islamituindah.my/fadilat-berbuka-dengan-kurma

ALLAH SWT telah menjadikan kurma atau tamar dengan banyak keistimewaan dan kelebihannya. Kurma adalah satu mukjizat dan sumber rezeki, manfaat serta memberi kesihatan bagi kehidupan manusia.
Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menyebutkan kelebihan dan keutamaan kurma. Antara lain Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan gegarlah ke arahmu batang pokok tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” – (Surah Maryam, ayat 25).
Allah memerintahkan Siti Maryam untuk menggegarkan batang pokok kurma ketika melahirkan anaknya, Nabi Isa as. Tanpa seorang pun yang membantunya, air mengalir di sisinya. Air itu kemudian diambil dan diminumnya sebagai ganti cairan tubuh yang hilang ketika melahirkan Nabi Isa.

Firaun juga memilih batang kurma untuk menyalib orang yang beriman kepada Tuhan Musa dan Harun sebagai azab bagi mereka kerana kekuatan dan kekukuhan yang ada pada pokok itu. Penyihir itu berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa.” (Surah Taaha, ayat 70).
Mengenai kurma sebagai buah yang berkat, Rasulullah SAW mewasiatkan kepada umatnya untuk memakannya ketika berbuka puasa.
Daripada Salman Ibnu Amir RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu akan berbuka puasa, maka berbukalah dengan kurma sebab kurma itu berkat, kalau tiada, dengan air kerana air itu bersih dan suci.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Daripada Anas RA berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW berbuka puasa dengan beberapa rothab (kurma mekar yang dipetik dari pohonnya) sebelum bersolat (Maghrib). Kalau tidak ada rothab, maka dengan beberapa kurma matang (kering), kalau tidak ada, maka dengan beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Tidak diragukan lagi bahawa di sebalik sunnah Nabi SAW ini, ada petunjuk perubatan dan manfaat yang banyak bagi kesihatan dan hukum yang elok dan bagus untuk manusia. Rasulullah SAW telah memilih makanan ini (kurma) atau tamar dan tidak memilih yang lainnya kerana adanya manfaat yang sangat besar dan mulia.
Dalam hadis juga disebutkan keutamaan tamar atau kurma itu. Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Rumah yang tidak memiliki kurma adalah rumah yang penghuninya sentiasa berasa lapar.” (Hadis riwayat Bukhari).
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya tamar itu menghilangkan penyakit dan tidak ada penyakit di dalamnya kerana ia adalah tanaman dari syurga yang boleh dijadikan sebagai ubat.”
Sa’ad RA berkata: “Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Siapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah (kurma Nabi), maka akan terhindar daripada racun dan sihir.” (Hadis riwayat Bukhari)
Ibnu Qaiyyim dalam kitabnya Zaadul Ma’ad berkata: “Kurma ialah buah-buahan yang sangat sesuai untuk mengisi perut yang kosong dan mampu memberi tenaga bagi tubuh. Kurma juga buah yang bermutu tinggi dan bermanfaat bagi kesihatan hati manusia dan dapat menghaluskan tabiat manusia yang kasar.”
Satu kajian dilakukan untuk mengetahui kandungan kimia dan biologis dalam kurma. Kajian itu berkesimpulan bahawa, setiap bahagian kurma yang dimakan mengandungi kandungan zat gula 70-75 peratus, 2-3 peratus protein, 5-8 peratus serat dan sedikit kandungan lemak. Selain itu, dalam penelitian perubatan juga didapati bahawa kurma mengandungi 65-70 peratus air jernih, 24-58 peratus zat gula, 2-2.1 peratus protein, 5.2 peratus serat dan sangat sedikit kandungan lemak.

Sunday, 15 April 2012

Meneladani puasa Rasulullah SAW

http://www.harian-metro-online.com/meneladani-puasa-rasulullah-s-a-w

DALAM ibadat puasa Ramadan, Rasulullah telah menunjukkan teladan yang terbaik untuk diikuti oleh umatnya. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud: “Apabila seorang dari kamu sekelian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah- sesungguhnya aku ini sedang berpuasa.”
Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah sendiri bahawa orang yang berpuasa itu pada hari kiamat nanti bau mulutnya akan lebih harum dari bau kasturi.



Dalam penyempurnaan ibadat puasa Ramadan, beberapa langkah yang telah diambil oleh baginda antaranya ialah:
Memantapkan niat – Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya.” (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Melaksanakan makan sahur – Anas bin Malik r.a. telah berkata telah bersabda Rasululla SAW. yang bermaksud: Sahurlah kamu sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya. (riwayat Muslim).
Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu adalah ganjaran pahala dari Allah. Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.
Imsak Rasulullah – Rasululalh SAW. bersabda : “Apabila salah seorang dari kamu mendengar azan subuh padahal bekas minuman masih di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya”. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.
Mempercepat berbuka – Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Telah berfirman Allah SWT: “Hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya”. (riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah).
Memperbanyak membaca al-Quran – Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Orang yang berkumpul di masjid dan membaca al-Quran, maka kepada mereka Allah akan menurunkan kelemahan batin dan limpahan rahmat. (riwayat Muslim).
Barang siapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya sepuluh kali ganda.
Namun membaca dalam konteks hadis di atas adalah ketenangan dan limpahan rahmat akan lebih mudah dicapai bila tadarus diertikan dengan mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.
Memperbanyakkan sedekah – Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang, tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.
Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk.Segala tingkah laku mestilah mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti mengumpat, mengeji dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima amalan puasanya itu.
Rugi rasanya jika kita membiarkan Ramadan yang sedang kita tempuhi ini berlalu begitu saja sedangkan ganjaran yang sedang menanti adalah terlalu banyak.
Lakukan sesuatu yang terbaik di sisi Allah kerana pada setiap malam bulan Ramadan ada suara yang memanggil: “Wahai orang yang melakukan kebajikan terus tingkatkan apa yang kamu lakukan itu. Wahai orang yang lalai, hentikanlah segera akan kelalaian yang sedang engkau lakukan. Mudah-mudahan Allah akan menunjukkan kita semua jalan yang lurus, menghapuskan dosa dan memasukkan kita dalam golongan manusia yang bebas dari api neraka.”

Monday, 26 March 2012

Ways to reduce bad breath while fasting

Some tips here:
http://blog.iloveallaah.com/2011/08/6-ways-to-kill-bad-breath-whilst-fasting/