by Abdullah Yasin on Friday, August 26, 2011 at 10:05am
عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ أَبِي سُفْيَانَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ إِذَا قَالَ فِى لَيْلَةِ القَدْرِ : لَيْلَةُ سَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ ( رَوَاهُ أَبُو دَاوُدَ – صَحَّحَهُ الشَّيْخُ الأَلْبَانِي فِى صَحِيْح سُنَنِ أَبِي دَاوُدَ ) . Dari Mu’awiyah Bin Abi Sofyan RA dari Nabi SAW : Sesungguhnya baginda SAW apabila berkata tentang Lailat Al-Qadar (ia akan terjadi pada) malam Dua Puluh Tujuh. ( HR Abu Daud disahihkan oleh Al-Syaikh Al-Albaniy dalam Sahih Sunan Abu Daud )
Pengajaran Ayat :
1. Lailat Al-Qadr akan muncul pada sepuluh akhir bulan Ramadhan, bukan pada malam sepuluh pertamanya atau sepuluh yang ditengahnya. Mungkin pada malam-malam ganjilnya ataupun pada malam-malam genapnya. Namun demikian kemungkinan ia muncul pada malam-malam ganjilnya adalah lebih memungkinkan sebab baginda SAW pernah memberi isyarat dalam hadisnya : Carilah Lalat Al-Qadr pada malam-malam ganjil dari sepuluh akhir Ramadhan. ( HR Bukhari – No.1878 ). Namun demikian, berdasarkan hadis sahih diatas, maka malam yang ke 27 Ramadhan adalah malam yang sangat memungkinkan Lailat Al-Qadr akan diturunkan Allah.
2. Kemungkinan besar Lailat Al-Qadr muncul pada malam yang ke 27 Ramadhan ini diperkuatkan lagi oleh penegasan seorang Sahabat yang bernama Ubay Bin Ka’b RA, katanya : Ayahku berkata tentang Lailat Al-Qadr : ( وَاللهِ ، إِنِّي لَأَعْلَمُهَا وَأَكْثَرُ عِلْمِي هِيَ اللَّيْلَةُ الَّتِي أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقِيَامِهَا هِيَ لَيْلَةً سَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ ) : Demi Allah, sesungguhnya aku mengetahui malam (Lailat Al-Qadr) tersebut. Dan kemuncak ilmuku ialah malam tersebut berlaku pada malam yang Rasulullah SAW memerintahkan kami agar mengadakan qiyamnya iaitu pada malam yang ke 27 (Ramadhan) – (HR Muslim).
3. Sesetengah Ulama’ membuat analisa dari sudut lain untuk memperkuat kemungkinan Lailat Al-Qadr muncul pada 27hb Ramadhan, antaranya : Perkataan Lailat Al-Qadr ( ليلة القدر ) disebut sebanyak 3 (tiga) kali di dalam Al-Quran dan kesemuanya terdapat dalam Surah Al-Qadr ( إنا أنزلناه فى ليلة القدر – وما أدرىك ما ليلة القدر – ليلة القدر خير من ألف شهر ) . Sedangkan bilangan huruf dalam perkataan ( ليلة القدر ) pula ada 9 (Sembilan) huruf. Ini seolah-olah memberi isyarat Lailat Al-Qadr akan berlalu pada tarikh 27hb Ramadahan kerana ( 3 x 9 = 27 ).
4. Ulama yang lain pula berkata : Jumlah perkataan dalam Surah Al-Qadr semuanya ada 30 ( Tiga Puluh ) perkataan. Jika demikian, maka ayat terakhir ( سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الفَجْرِ ) : Selamat Sejahtera Dia (Lailat Al-Qadr) Sehingga Terbit Fajar. Jadi urutan perkataan ke 26 : ( سلام ) : Selamat sejahtera ; perkataan ke 27 ( هي ) : Dia ( Lailat Al-Qadr ) ; Perkataan ke 28 ( حتى ) : Sehingga ; Perkataan ke 29 ( مطلع ) : Terbit ; Perkataan ke 30 ( الفجر ) : Fajar. Perkataan ke 27 yakni Dia adalah kata ganti bagi Lailat Al-Qadr.
5. Nasihat : Sebenarnya tidak seorangpun yang dapat mengetahui secara pasti bila Lailat Al-Qadr itu akan muncul. Ia hanya dalam Ilmu Allah SWT. Malam istimewa tersebut anugerah Allah hanya untuk umat Nabi Muhammad SAW saja. Ganjarannya sangat besar sebagaimana telah dijelaskan pada Nota 039 : Lailat Al-Qadr. Tetapi berdasarkan isyarat dari Nabi Muhammad SAW sendiri berdasarkan hadisnya yang sahih, malam tersebut akan muncul pada sepuluh akhir bulan Ramadhan, terutama pada malam-malam ganjilnya. Dan dari sekian malam ganjilnya pula maka malam 27 Ramadhan adalah sangat besar kemungkinan ia akan muncul (mala mini). Adapun tentang analisa para ulama tafsir pada point (3) dan (4) itu hanya kajian. Dan dalam hal ini kita ada pilihan, apakah mempercayainya atau sebaliknya. Namun usaha mereka wajar kita hormati. Semoga semua usaha kita diberkati Allah ‘Azza Wa Jalla, Amin Ya Rabbal ‘Aalamin.
No comments:
Post a Comment